Saturday, 27 November 2010

Opening Matches PSL 10/11

Irbid, Jordan : One United FC mencatatkan keputusan seri  0-0 ketika menentang Mentarang FC, awal pagi semalam. Meskipun gandingan Yeop dan Usamah amat berbahaya, namun, barisan pertahanan Mentarang FC nampak teguh hasil kelolaan kapten Mentarang FC sendiri, Mun. Kedua-dua pasukan saling berbalas balas serangan tetapi buntu dalam menjaringkan gol. Zulharis, penyerang Mentarang FC mendapat beberapa peluang hasil hantaran Naim dan Kuchai namun penjaga gol One United FC harus berterima kasih kepada pertahanannya yang berkaliber.Menurut Kapten Mentarang FC, ketiadaan 3 pemain utama pasukan mereka sedikit sebanyak menjejaskan permainan tetapi beliau berpuas hati dengan keputusan pasukannya semalam. Usamah pula kelihatan tenang meskipun gagal menjaringkan gol.

Sementara itu, Barbican FC terus cemerlang menumpaskan Buyong Munich FC meskipun ketinggalan pada awal permainan. Gol pertama permainan dijaringkan oleh Mukmin hasil hantaran cantik Shazwan.Buyong Munich FC tidak kekal lama apabila larian kencang Faiz Afa dari kanan gol mencetuskan gol penyamaan perlawanan melalui tendangan cantik Yash tidak lama kemudian. Rentak permainan selepas itu terus dikuasai Barbican FC dengan beberapa serangan berbahaya namun berjaya dibentes oleh pertahanan lawan. Pada separuh masa kedua, Barbican FC tampak lebih garang dengan dua jaringan, Mustapha dan Ikram yang dikatakan berpotensi besar dalam liga kali ini. Pada minit akhir perlawanan, Buyong Munich FC menggandakan asakan mereka namun menemui jalan buntu. Pemain utama Barbican FC, Yash pula cedera pada perlawanan semalam akibat tersalah jatuh di padang.

Perlawanan ketiga pula menyaksikan Team Kapak FC dan Copa Banana FC mengutip 1 mata masing masing. Ashraf Marwan, penyerang Team Kapak kelihatan buntu di hadapan gol pada perlawanan kali ini dan sesekali terlihat di kawasan tengah padang, mengukuhkan barisan tengah pasukan. Wasieq, pemain pasukan Copa Banana FC menggerakkan jentera serangan pasukannya namun tiada jaringan yang dapat dicatatkan. Kedua dua pasukan bermain dengan begitu kemas, menampakkan keserasian pemain baru dan pemain lama.

Lewat pagi semalam, pasukan Legend Kampung FC tumpas di tangan All White FC hasil jaringan kontroversi Poey. Legend Kampung FC membuat kejutan apabila meletakkan Jep sebagai penjaga gol pasukan namun kejutan itu tidak membawa sebarang kejayaan kepada pasukan. Gandingan Mahdi dan Sophee Ghani agak berbahaya pada awal perlawanan tetapi berjaya dibentes oleh pemain pertahanan berpengalaman, Rafie. Pada suku akhir perlawanan, hantaran Dzofir menjengah Nur Arief yang menghalakan bola ke arah gol. Poey yang berada di hadapan gol, menguis bola ke dalam gol meskipun ditekan penjaga gol Legend Kampung FC. Penonton menyatakan bahawa Arief yang menjaringkan gol tetapi pengadil dengan tegasnya menyatakan bahawa gol milik Poey.

Pengurusan liga amat berpuas hati dengan komitmen pemain pada perlawanan semalam dan mengucapkan ribuan terima kasih.


Ulasan dari : Mr J

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...